CARA MENGENAL ALLAH SWT
1. Mengenal Allah s.w.t adalah fardhu Ain
atas tiap-tiap mukallaf dengan mengetahui namaNya dan sifat-sifatNya
yang bertepatan dengan syarak yang berlandaskan ajaran para Nabi dan
Rasul.
2. Nama-nama Allah s.w.t (Al-Asma ‘ul-Husna) dan sifat-sifat
yang Maha Besar dan Maha Tinggi. Nama Allah s.w.t yang lebih masyhur di
antara segala nama-namaNya ialah Allah, disebut lafaz Al-Jalalah (Lafaz
yang Maha Besar) dan yang lain daripada ini diketahui melalui Al-Quran
dan Al-Hadith. Semuanya sentiasa menjadi sebutan umat Islam contohnya
Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Quddus, As-Salam, Al-Mukmin.
3. Sifat-sifat yang diketahui oleh mukallaf terbahagi kepada dua bahagian :-
1)
Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan Ijmali (Ringkas) iaitu bahawa
beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus
(jazam) bahawa wajib bagi Allah s.w.t bersifat dengan sifat-sifat
kesempurnaan yang layak dengan keadaan ketuhanan dan mustahil atasNya
bersifat dengan apa-apa jua sifat kekurangan.
2) Mengetahui
sifat-sifat Allah s.w.t dengan jalan tafsili (satu persatu) iaitu bahawa
beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus
dengan dalil aqli (dengan akal) dan dalil naqli (dengan Al-Quran dan
Hadith) bahawa wajib dan beriktiqad dengan iktiqad yang putus dengan
dalil aqli dan naqli. Maka mustahil atas Allah s.w.t bersifat dengan
segala lawan sifatyang wajib tersebut.
4. Mengenal Allah s.w.t wajib melalui tiga perkara :-
1)
Iktiqad yang putus (jazam) iaitu tiada syak, dzan dan waham. Jika
iktiqadnya ada salah satu daripada tiga tadi maka tidak dinamakan
mengenal Allah s.w.t.
2) Muafakat (bersetuju) iktiqad itu dengan
yang sebenar (bertepatan dengan iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah), maka
tidak dinamakan mengenal jika iktiqad tidak bertepatan dengan yang
sebenar (Ahli Sunnah Wal-Jamaah) seperti iktiqad orang Nasrani dan
Yahudi.
3) Dengan dalil sekalipun dengan dalil ijmali, jika
iktiqadnya putus (jazam) serta bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah
tetapi jika tidak dengan dalil maka dinamakan taqlid.
5. Iktiqad yang
tidak terputus atau tidak bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah,
maka para ulama membuat persetujuan bahawa menghukum orang itu kafir.
Dan bagi iktiqad orang bertaqlid itu timbul perselisihan ulama padanya.
Mengikut qaul yang muktamad orang yang bertaqlid itu tidak dihukumkan
kafir jika taqlidnya putus dengan dihukum mukmin yang menderhaka (jika
ia belajar maka tidak dihukumkan mukmin yang derhaka).
6. Makna taqlid ialah menerima perkataan orang lain dengan tidak mengetahui dalil dan keterangan.
7. Taqlid terbahagi kepada dua bahagian :-
1) Taqlid Jazam (putus)
-
Iktiqad yang teguh dan tidak akan berubah walaupun orang yang diikuti
itu berubah. Maka taqlid ini di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamaah sah imannya
kerana ada mempunyai iktiqad yang jazam (putus).
2) Taqlid yang tidak Jazam (Tidak Putus)
-
Menerima perkataan orang lain dengan tidak teguh sekiranya orang yang
diikuti seperti guru-gurunya, ibubapanya atau lainya. Iktiqad mereka
berubah-ubah mangikut orang yang diikutinya. Maka taqlid ini dihukumkan
tidak sah imannya kerana serupa imannya dengan syak,zhan atau
waham(tiada putus).
8. Kesimpulannya iman orang yang
bertaqlid sentiasa di dalam bahaya atau bimbang dan tergantung
kebenarannya atas orang yang diikutinya. Jika benar perjalanan orang
yang diikutinya seperti guru-gurunya maka mengikutnya selamat, tetapi
jika sebaliknya binasalah mereka.
9. Hendaklah seseorang itu
bersungguh-sungguh menuntut Ilmu Tauhid yang sahih supaya terlepas ia
daripada syak dan waham dalam iman kerana di akhir zaman ini terdapat
ramai ahli-ahli bida’ah.
10. Taqlid itu membawa mudharat kerana jalan membawa kepada sesat yang amat hina yang tiada layak pada seseorang manusia.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar